KUALA LUMPUR, 30 July 2025 — Carousell, platform pengiklanan dan perdagangan barang terpakai pelbagai kategori atas talian terkemuka di Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, hari ini menerbitkan Laporan Tren Penipuan Serantau 2024, satu kupasan mendalam mengenai taktik penipuan utama yang menyasarkan pembeli dalam talian serta langkah-langkah konkrit yang boleh diambil oleh pengguna untuk mengelak daripadanya.
Membongkar Taktik Penipu: 5 Penipuan Teratas pada 2024
Laporan yang dihasilkan oleh Kumpulan Kerja Amanah dan Keselamatan Carousell ini menggabungkan laporan polis dan pengguna untuk mengenal pasti jenis penipuan yang paling lazim di rantau ini pada tahun lepas:
- Penipuan Barangan Tiruan: Penipu menjual barangan palsu, terutamanya kasut sukan dan barangan fesyen mewah. Penipuan jenis ini lebih kerap berlaku di Hong Kong dan Singapura.
- Penipuan E-dagang: Penipu mengiklankan gajet yang mempunyai permintaan tinggi bagi mengeksploitasi keterdesakan pembeli, dan kemudian menghilangkan diri selepas menerima bayaran.
- Penipuan Tiket Konsert & Acara: Penipu menawarkan tiket untuk acara popular atau yang telah habis dijual, tetapi akhirnya menghantar tiket palsu atau tidak menghantar apa-apa langsung. Penipuan jenis ini juga lebih kerap berlaku di Hong Kong dan Singapura.
- Pancingan Data Pembeli Palsu: Penipu menyamar sebagai pembeli dan menghantar pautan pancingan data yang meniru laman Carousell atau perbankan untuk mencuri maklumat peribadi dan kewangan.
- Sokongan Carousell Palsu: Varian pancingan data di mana penipu menyamar sebagai Sokongan Carousell melalui chat atau SMS untuk menyelesaikan “ralat” palsu, bagi memperdaya pengguna untuk mendedahkan butiran mereka.
Walaupun taktik di atas berleluasa, penipuan tunggal yang paling lazim berbeza di setiap pasaran:
- Malaysia: Penipuan Barangan Fesyen, di mana penjual menghilangkan diri selepas menerima bayaran.
- Hong Kong: Penipuan Tiket Konsert, yang mengambil kesempatan ke atas acara yang mempunyai permintaan tinggi.
- Taiwan: Penipuan “Diskaun 50%”, menggunakan diskaun yang ekstrem dan tidak realistik sebagai umpan untuk mendesak pembeli.
- Filipina: Penipuan Kamera Digital, mengambil kesempatan ke atas tren kamera digital retro yang popular baru-baru ini.
- Singapura: Penipuan Pemudah Cara (Enabler), di mana pengguna direkrut (selalunya melalui tawaran kerja palsu) untuk menggunakan akaun mereka bagi menyiarkan iklan penipuan, membolehkan penipu sebenar kekal tanpa nama.
Bagaimana Carousell dan Komunitinya Kekal Selangkah di Hadapan Penipu
Sepanjang 2024, pelbagai langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh Carousell bersama komuniti penggunanya yang sentiasa berwaspada telah digerakkan bagi melindungi keselamatan platform :
- Menyekat 1.28 juta pautan luaran, 727,000 alamat e-mel, dan 20,000 kod QR daripada dihantar dalam chat untuk mengurangkan pendedahan pengguna kepada risiko pancingan data.
- Mengeluarkan 23 juta amaran keselamatan dalam aplikasi apabila pengguna cuba berkongsi nombor telefon bimbit, memberi amaran kepada mereka tentang risiko pancingan data.
- Menggantung 422,000 akaun mencurigakan dan menyemak 309,000 laporan yang dihantar oleh komuniti untuk menghentikan penipu daripada mengambil tindakan lanjut dengan pantas.
“Pendidikan pengguna sentiasa menjadi tonggak strategi kepercayaan kami. Tahun ini, kami memperkukuh komitmen tersebut dengan menerbitkan Laporan Tren Penipuan Serantau kami yang pertama. Dengan mendedahkan taktik penipuan, kami membantu penjual mengenal pasti cubaan pancingan data serta membimbing pembeli agar lebih peka terhadap tawaran yang mencurigakan. Teknologi kami adalah jaringan keselamatan yang penting, tetapi pada akhirnya, komuniti yang terdidik adalah barisan pertahanan kami yang paling kuat,” kata En. Gijs Verheijke, Pengarah Kepercayaan dan Pengalaman Pelanggan, Carousell.
Tip ringkas untuk jual beli yang lebih selamat
Sebagai peringatan umum semasa membuat jual beli di mana-mana platform dalam talian:
- Kekalkan perbualan dalam platform: Sentiasa gunakan fungsi chat terbina dalam Carousell. Penipu sering cuba memancing pengguna ke aplikasi luar seperti WhatsApp atau Telegram untuk menghantar pautan pancingan data atau membuat dakwaan yang tidak dapat dipantau atau disahkan.
- Untuk perlindungan maksimum, bayar melalui platform: Di Carousell, gunakan butang ‘Beli’ untuk pembayaran dan penghantaran. Ini melindungi pembayaran anda, yang hanya akan dilepaskan kepada penjual selepas anda mengesahkan barangan telah diterima seperti yang diterangkan.
- Lindungi maklumat peribadi anda: Carousell dan penjualnya tidak memerlukan e-mel, nombor telefon, atau kata laluan anda untuk transaksi. Semua maklumat yang diperlukan diuruskan dengan selamat dalam aplikasi apabila anda menggunakan butang ‘Beli’.
Bagi meningkatkan kesedaran pengguna, Carousell juga akan menjalankan kempen pendidikan pengguna selama sebulan di seluruh platform dan saluran media sosialnya.
Lawati support.carousell.com untuk mengetahui lebih banyak tip dan nasihat keselamatan.
===
Tentang Carousell
Carousell adalah platform pengiklanan dan perdagangan barang terpakai pelbagai kategori atas talian yang memudahkan penjualan dengan hanya mengambil gambar, dan pembelian semudah berbual. Carousell beroperasi di Singapura, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Taiwan. Pasaran Carousell mempunyai pelbagai produk dalam kategori seperti Kosmetik, Elektronik, Fesyen, Hobi & Permainan, serta Peralatan Sukan & Rekreasi. Bagi meningkatkan kepercayaan dan kemudahan dalam pembelian dan penjualan barangan terpakai, Carousell telah melancarkan program perdagangan semula (recommerce) seperti Carousell Certified, yang membolehkan pengguna membeli barangan terpakai yang telah diperiksa, dan Sell to Carousell, yang membolehkan pengguna menjual terus kepada Carousell untuk mendapatkan wang tunai serta-merta. Muat turun aplikasi untuk iOS atau Android, dan lawati www.carousell.com untuk maklumat lanjut.